Ahad, 28 November 2010

“ Permulaan Jalan Menuju Hidayah”

“ Bidayatul Hidayah” karangan al-imam Hujjatul Islam Al –Ghazali r.a. Satu buku yang tidak asing lagi di kalangan pencinta-pencinta ilmu..


Tidak dinafikan, terkadang-kadang keghairahan untuk menuntut ilmu itu datang menyelusup ke dalam diri. Disebabkan dorongan dan semangat daripada sahabat-sahabat yang dekat atau jauh, semangat inkuiri yang tinggi, dan juga rasa kejahilan yang teramat dalam diri.


Tetapi, terasa satu kekurangan yang amat besar, bagi orang-orang yang sangat bersemangat mencedok ilmu sebanyak mungkin, walau hakikatnya mengetahui hakikat ilmu yang sangat sedikit jika dibandingkan dengan lautan ilmu Allah yang luas. Apakah kekurangan itu? Ye, ia berkaitan NIAT dan TUJUAN!!



“ Sekiranya engkau berniat dengan mencari ilmu ini untuk berlumba-lumba dan mendapatkan kemegahan dan terkemuka di kalangan kawan-kawan, dan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap dirimu, dan menghimpunkan kekayaan dunia, maka sebenarnya engkau telah berusaha MENGHANCURKAN AGAMAMU dan MEMBINASAKAN DIRIMU SENDIRI dan menjual akhiratmu untuk mendapatkan harta dunia, MAKA perniagaanmu adalah rugi dan porak peranda, dan guru yang mengajarmu adalah dikira menolongmu dalam membuat maksiat dan ia juga akan merasakan kerugian.”


Koreksi diri, andai ada salah satu daripada tujuan-tujuan tersebut termasuk dalam niat dan tujuan kita. Jikalau ada, cepat-cepat istighfar dan cuba lakukan perubahan. Untuk apa? Supaya kita tidak berterusan tertipu oleh tipu daya syaitan. Sebagaimana Allah telah berfirman:


Maksudnya; “ Katakanlah Wahai Muhammad! Mahukah kamu aku khabarkan denagn orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka. Iaityu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik.”

(al-Kahfi, 103-104)


“Dan jikalau niatmu dalam mencari ilmu itu untuk MENCARI KEREDHAAN ALLAH dan MENCARI HIDAYAH, bukan semata-mata untuk pandai bercakap, maka hendaklah engkau bergembira, kerana para malaikat telah mengembangkan sayapnya apabila engkau berjalan dan ikan di lautan semuanya meminta ampun bagimu apabila engkau berjalan.”


“ Tetapi sebelum itu hendaklah engkau ketahui bahawa HIDAYAH itu adalah buah daripada ILMU dan bagi hidayah itu ada “ bidayah” ( permulaan ) dan ada pula “nihayah” ( kesudahan), ada zahir dan batinnya, dan engkau tidak akan ssampai kepada nihayatul hidayah dan tidak dapat menyelami batin hidayah, kecuali setelah engkau selesai daripada menyempurnakan segala urusan berkenaan dengan zahir hidayah itu.”


Jadi, untuk mendapat hidayah perlu berusaha, bukan menunggu sahaja. Iaitu usaha dengan ilmu. Jom sama-sama tuntut ilmu, untuk cari hidayah dan cari redha Allah semata-mata. Bukan untuk kepentingan dunia, bukan untuk bermegah-megah dengan ilmu yang ada..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan