Selasa, 31 Ogos 2010

FASA KE-3 RAMADHAN DAN ALAM MAHASISWA

Sedar atau tidak kita telah memasuki fasa ke-3 bulan ramadhan, iaitu “Itqun Minan Nar” atau Bebas dari cengkaman api neraka. Alangkah beruntungnya bagi orang-orang yang sedar akan hakikat 10 terakhir ramadhan ini, dan mengambil tindakan segera dengan melakukan amal-amal ibadat sebanyak dan sekhusyuk mungkin. Alangkah ruginya bagi orang-orang yang sedar akan kewujudan dan kelebihan 10 terakhir ramadhan, tetapi masih mahu menangguh-nangguhkan ibadat dan masih bermalas-malasan. Dan alangkah malangnya bagi orang-orang yang tidak sedar bahawa ramadhan sudah semakin hampir menutup tirainya, dan malam-malam terakhir ramadhan kian berlalu, menjauhi hamba-hamba yang lalai, alpa, dan leka dengan kesibukan duniawi. Bagi para mahasiswa, waktu-waktu terakhir ini dihabiskan dengan menyiapkan assignment, thesis, labreport, study dan sebagainya. Begitulah kehidupan seorang mahasiswa sehari-harian. Wahai mahasiswa-mahasiswi sekalian, tidakkah kalian bosan dengan kehidupan sebegini? Puaskah kalian dengan apa yang kalian lalui, dengan segala tekanan dan bebanan kerja yang tak berkesudahan?

Saya ingin membuat satu analogi. Ada 2 orang penjual air soya di bazaar ramadhan, si A dan si B. Si A kelihatan bekerja dengan penuh riang, ceria dan bersungguh-sungguh. Manakala si B pula bekerja dengan keadaan tertekan, terpaksa dan mudah marah terutama apabila tidak ramai yang ke gerainya. Pada pendapat anda, bagaimanakah 2 situasi yang berbeza ini berlaku, sedangkan mereka membuat pekerjaan yang sama? Ketahuilah bahawa pekerja A bekerja dengan hati yang penuh ikhlas, penuh kesedaran akan tanggungjawabnya sebagai seorang khalifah di bumi ini. Manakala pekerja B sekadar memenuhi tuntutannya sebagai seorang bapa yang mengandungi tanggungan yang ramai, dan semata-mata untuk mencari rezeki..

Begitulah kita wahai mahasiswa-mahasiswi islam sekalian. Sedarlah kita, untuk mendapat kebahagiaan dunia akhirat dan ketenangan hati, tidak dapat tidak kita mesti menghubungkan hati kita dengan pencipta kita, iaitu Allah Rabbul Jalil. Hablun minallah sangat penting, lebih-lebih lagi kehidupan kita yang penuh cabaran dan onak duri. Kita tidak sama dengan orang awam di luar, yang punya masa yang sangat banyak untuk beramal ibadat seperti solat, baca al-Quran dan belajar kitab-kitab agama pada setiap saat dan ketika. Walaubagaimanapun, kita mesti mengambil inisiatif untuk menjadi hamba yang diredhaiNya. Bagaimana caranya? Iaitu dengan meniatkan segala apa yang kita lakukan sehari-hari seperti siapkan assignment, buat kerja persatuan dan menolong sahabat-sahabat sebagai satu ibadah. Apa sahaja yang kita lakukan niatkan kerana Allah, untuk mendapat maghfirah, rahmat dan kasih-sayangnya. Di samping itu jangan lupa sahabat-sahabat, untuk melaksanakan amal ibadat sebanyak mungkin, terutama di waktu-waktu terakhir ramadhan. Jangan terlalu gembira dengan kedatangan hari raya, sebaliknya bersedihlah kerana ramadhan hampir tamat. Rebutlah peluang pada baki-baki ramadhan yang masih tinggal. Berdoalah kepada Allah dengan rasa takut dan penuh harapan. Lakukanlah qiammullail pada setiap malam, semoga kita semua bertemu dengan lailatul qadar. Cubalah untuk menitiskan air mata, walaupun hati kita begitu keras untuk merasai nikmat ibadat kepadaNya.


Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut ) . Sejahteralah malam ( yang barakah ) itu hingga terbit fajar " .

(Surat al-Qadar ayat :1-5 )

Jangan sia-siakan waktu yang ada, rebutlah peluang keemasan ini. Sedangkan Rasulullah s.a.w. . Sendiri menanti-nanti malam tersebut dan melipatgandakan amalan Baginda, inikan lagi kita sebagai hamba yang banyak melakukan dosa dan sedikit amal.

Renungilah kembali ayat 183 surah al-Baqarah :


Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa " .

Adakah kita mampu mencapai matlamat akhir atau objektif dari program ramadhan itu sendiri, iaitu untuk mendapat TAQWA kepada Allah.
Ayuh sahabat-sahabat, masih belum terlambat bagi kita untuk merasai keindahan beribadat kepandaNya. Ingatlah, sesungguhnya Allah itu dekat dengan kita.


Maksudnya : " dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada-mu mengenai aku, maka ( beritahu kepada mereka ) sesungguhnya aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada Mereka ), aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku ( dengan mematuhi perintahku ), dan hendaklah mereka beriman kepada aku supaya mereka menjadi baik serta betul " .

( Surah al-Baqarah ayat: 186 )