Sabtu, 29 Mei 2010

SERIUS!!

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar…

Astaghfirullahal’azim..

Semoga Allah memberi taufiq, hidayah, petunjuk kpd penulis dan umat Islam keseluruhannya..


Ini merupakan satu isu yang sangat serius, dan sangat penting bagi kita semua sebagai umat Islam untuk dimuhasabah dan difikirkan. Isunya adalah, “ bila kita nak serius pada diri sendiri? ”


Serius, bersungguh-sungguh, tidak main-main dan ikhlas merupakan sifat-sifat yang saya rasa perlu ada pada setiap orang Islam. Rasulullah, saat baginda menerima wahyu, bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah kepada manusia, mengajak manusia kepada pangabdian kepada Allah semata-mata, bukan pengabdian sesama manusia dan makhluk-makhluk lain. Sebagaimana yang tercoret dalam surah al-muddatsir, pada ayat yang kedua, terdapat kata “Qum fa anzir”, tegaklah, maka berilah peringatan. Ayat yang kedua surah ini, menyuruh tegak untuk menyampaikan peringatan, dengan itulah baginda telah diangkat menjadi rasul, selepas menjadi nabi. Manakala pada surah al-muzzammil, baginda disuruh memperkuat jiwa dengan melakukan sembahyang malam. Kesungguhan baginda dan sahabat-sahabat baginda memperjuangkan Islam sangat terserlah, yang terlakar indah dalam lipatan sirah nabawiyyah.


Keseriusan dalam melakukan sesuatu perkara tidak akan timbul, tanpa keyakinan yang sangat mantap terhadap kata-kata, janji-janji dan khabar-khabar daripada Allah, tuhan sekalian alam. Seringkali kita merasakan yakin dengan setiap apa yang dikhabarkan oleh Allah di dalam Al-quran, tetapi adakah kita benar-benar yakin dan percaya dengan janji-janjiNya? Jika kita benar-benar yakin, kenapa kita masih malas untuk bangun melakukan ibadah kepadanya? Kenapa kita masih malas dan tak ada kesungguhan dalam melakukan kerja-kerja Islam? Keyakinan inilah dinamakan IMAN. Al-iman yazid wa yanqus, fa jaddid imanuka bil istighfar. Iman itu meningkat dan menurun, maka perbaharuilah iman kamu dengan istighfar.


Cuba kita ‘flash-back’ balik apa yang kita buat sebelum-sebelum ini, kenapa masih ada yang kurang? Maksudnya, kita sendiri merasakan gerak kerja kita dalam ibadah, dakwah, menuntut ilmu dan sebagainya, lembap, lemah, malas, seperti melepaskan batuk di tangga? Wallahua’lam, masing-masing tepuk dada, tanya iman.


“ orang yang paling bijak adalah orang yang paling banyak mengingati mati”. Betul, jika kita merasakan bahawasanya kita akan mati esok, pastinya kita akan bersungguh-sungguh, dan sangat serius melakukan ibadah, kerja-kerja untuk Islam. Pastinya kita tidak akan hiraukan masalah-masalah kecil yang mengganggu matlamat besar kita untuk mendapat keredhaan Allah, dan mengjulang tinggi kalimah Allah di muka bumi ini. Kebanyakan daripada kita menjadikan masalah-masalah yang kecil sebagai penghalang untuk kita maju ke depan, mencapai matlamat yang lebih penting dan utama. Saya berikan satu contoh, si A sanggup menyeksa dan mengabaikan dirinya, bersedih seorang diri, muram dan tak ada ‘mood’ melakukan kerja, semata-mata sedih dengan perlakuan sahabat baiknya terhadap dirinya. Disebabkan sangat terasa hati dengan sahabat rapatnya yang juga ‘rummatenya’, yang kebelakangan ni tidak menghiraukan dirinya, seolah-olah dirinya tiada di sisi, si A telah mensia-siakan waktu yang Allah anugerahkan untuk perkara yang kecil, remeh-temeh jika dibandingkan dengan nilai waktu atau masa yang sangat bernilai itu sendiri. Banyak lagi perkara penting yang perlu dibuat dan difikirkan. Sama juga dengan situasi pembaziran masa. Terutama di waktu cuti semester sebegini. Ingatlah, kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada.


Apabila kita tidak serius memikirkan tentang hal berkenaan diri kita, kita tidak akan rasa ‘zuuq’ melakukan sesuatu pekerjaan. Kita tidak ada ‘sense of belongings’. Kita akan cenderung melakukan sesuatu pekerjaan, apabila dikatakan penting oleh orang lain, apabila perkara itu dibuat oleh semua sahabat-sahabat kita, dan apabila kita disuruh melakukan perkara itu. Kita lebih kepada terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat dan rasa, dan kita juga cuba untuk merasainya, tetapi akhirnya kita tewas dan kalah dalam merasai kemanisan dalam perjuangan.


Serius melakukan sesuatu pekerjaan kerana Allah, dan merasakan tanggungjawab yang terletak dia atas bahu kita selepas mengaku Islam, selepas mengucap dua kalimah syahadah. La ilaha illallah, muhammadur Rasulullah, perlu dihayati. Apa tuntutan-tuntutan kalimah syahadah itu, dan apa yang tersurat dan tersirat. Seorang tuan guru berkata, ‘apabila kita membaca Al-Quran, kita mesti merasakan setiap ayat daripada al-Quran itu ditujukan kepada kita. Dan bayangkan setiap ayat suruhan yang Allah tujukan kepada nabi itu, kepada diri kita sendiri. Pasti kita akan rasa satu kelainan, seolah-olah tanggungjawab agama Islam itu terletak dia atas bahu kita seorang’. MasyaAllah..


Semoga Allah memberi petunjuk dan mempermudahkan jalan untuk kita meng ‘explore’ ilmu-ilmunya, supaya kita tidak terus menerus berada dalam kejahilan, supaya kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi dan besar penyesalan di akhirat kelak, dan supaya kita tidak tergolong dalam golongan hamba yang bodoh sombong. AMIN..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan